Saturday, November 12, 2016

Cerita Seram : Tahun 1986

Pada ingatan saya , semasa berumur 6 tahun, berlaku satu peristiwa ku anggap pelik dan cukup mendebarkan. Ianya berlaku semasa saya tidur berseorangan dalam bilik.
 Pada waktu itu kami tinggal  di perumahan kilang langkon kota marudu.Dalam kawasan perumahan tersebut dibahagikan dalam beberapa zon, ada zon rumah teres ada zon rumah individual dan ada juga zon jenis kembar, kami pula tinggal dalam zon rumah individual dan jarak setiap rumah adalah berdekatan mungkin dalam 20 kaki sahaja. Bekalan elektrik dan bekalan air adalah percuma kerana  di sediakan oleh pihak kilang tetapi setiap kali pihak kilang membuat pemprosesan "boiling" buah sawit ,mereka akan mematikan semua talian elektrik kawasan perumahan memandangkan keperluan tenaga elektrik untuk pemprosesan boiling buah sawit sangatlah tinggi. 
 Disebabkan operasi kilang berlaku sepanjang masa 24/7 maka bekalan elektrik ke perumahan akan ditutup tidak kira waktu siang atau malam ,bagi mereka yang pernah tinggal dan membesar di sana pasti sudah lali dengan situasi berkenaan.

 Disebabkan pada siang hari saya terlalu penat bermain dengan kanak-kanak jiran sebelah.Selepas makan malam saya terus ke bilik tidur sehinggalah terjaga dalam keadaan gelap gelita kerana kepanasan disebabkan kipas tidak berfungsi berpunca dari ketiadaan bekalan elektrik.  
 Amat sukar melelapkan mata setelah terjaga dari tidur kerana keadaan terlalu sunyi dan bermacam-macam bunyi kedengaran sehinggakan bunyi jarum jam berdetik di dinding pun boleh di dengari dengan jelas, bunyi sudu dan garpu juga kedengaran apabila tikus berkejaran di dapur memandangkan bilik tidur saya bersebelahan dengan ruang dapur.
 tingkap cermin pula berada di hujung katil dan langsir akan mengerbang sekali sekala apabila setiap kali di tiup angin malam. Dalam keadaan samar-samar berbekalkan cahaya bulan penuh, nun disana saya melihat salah satu bumbung rumah jiran yang jaraknya dari rumah saya lebih kurang 2 blok rumah.Dalam kesamaran itu saya melihat suatu lembaga sedang berjalan(mungkin terbang) mundar mandir diatas bumbung jiran. Berbaju labuh putih seperti seorang wanita dan berambut panjang hingga paras punggung. Disebabkan kehairanan dan ingin tahu saya merangkak ke tingkap untuk melihat dengan lebih jelas. Rumah itu sememangnya berpenghuni tetapi siapa pula yang sedang mundar mandir atas bumbung rumah pada waktu malam?. Agak lama juga saya melihat kelibat lembaga mundar mandir, mungkin dalam beberapa minit. Sampai lah satu masa lembaga itu berhenti bergerak dan perlahan-lahan menghadap ke tingkap bilik saya..seperti lembaga itu tahu yang ia sedang diperhatikan. Dari jauh ia seperti terbang menuju ke arah tingkap bilik..perlahan-lahan saya berundur dari tingkap dan bersembunyi dalam selimut . Sambil curi curi melihat tingkap dari arah katil kelihatan lembaga itu sedang berdiri diatas bumbung jiran yang jaraknya hanya dalam 20 kaki sahaja, berbekalkan cahaya bulan yang samar ,saya cuba melihat muka lembaga itu namun  tidak kelihatan kerana rambutnya telah menutup semua bahagian muka hinggalah ke paras pusatnya .Disebabkan ketakutan saya kembali bersembunyi dalam selimut sehinggalah kedengaran dinding luar bersebelahan dengan tingkap tadi di cakar seperti kucing sedang menguis tanah. Agak lama juga bunyi itu kedengaran sehinggalah lampu jalan terpasang menandakan bekalan elektrik telah pulih dan ketika itu barulah bunyi cakaran itu hilang.Dalam ketakutan saya tertidur dengan lena. 
Besoknya saya bangun awal dan menceritakan semua pengalaman pelik yang saya alami semalam kepada ibu saya dan hampa bila ibu memberi respon "itu hanya mimpi sahaja". 
Petang itu ibu membawa saya dan adik-adik yang lain melawat rumah jiran kerana ada bayi baru lahir semalam dan saya bertanya kepada ibu, jiran yang mana satu...ibu menunjuk ke arah rumah jiran yang mana semalam telah pun di datangi pelawat misteri.




No comments: