Pada tahun 1990, ketika itu saya berumur 10 tahun. Kejadian
kali ini bukan di kawasan sekolah tetapi ketika menunggang basikal pulang dari
ladang sawit. Saya sering bersiar-siar menggunakan basikal, saya menggunakan
basikal berjenama Singer, ianya mempunyai tempat duduk belakang untuk
pembonceng dan bakul penyimpan barang pada bahagian hadapan basikal.
Masih segar dalaman ingatan pada bulan itu merupakan
musim tengkujuh,musim hujan dan kelembapan tinggi, pada waktu itulah juga tandan kelapa sawit
akan ditumbuhi kulat sawit yang sangat
banyak dan sedap untuk di makan.
Kawasan ladang sawit terbahagi
kepada beberapa blok dan blok yang sering ditumbuhi kulat sawit yang banyak
merupakan blok yang paling jauh dari kawasan perumahan dan teramat jarang orang
datang ke sana selain pekerja ladang sahaja, hanya kenderaan bermotor seperti
motorsikal dan traktor sahaja yang dapat melepasi jalan gravel yang
berlubang-lubang. Jika berjalan kaki ke sana ianya akan mengambil masa sejam
jaraknya itu pun dengan menggunakan jalan pintas dan sekiranya berbasikal ,
penungang akan mengambil masa lebih kurang 30 minit jika berkayuh laju.
Pada suatu petang selepas hujan
lebat lebih kurang jam 3.30 petang, saya mula berkayuh dari rumah dan berharap
agar menjadi orang pertama untuk sampai ke blok ladang yang paling hujung
kerana ada desas desus makcik-makcik jiran sebelah juga akan ke sana untuk
mencari kulat sawit setelah hujan berhenti.
Setelah mengayuh lebih kurang 30
minit maka sampailah saya ke blok ladang tersebut. Saya mencari tempat yang
sesuai untuk meletakkan basikal singer dan mengunci basikal itu. Di kawasan itu
terdapat banyak timbunan tandan kelapa sawit yang sudah lama mereput dan banyak
juga tumbuhan liar tumbuh dengan subur. Keadaan ladang sawit pada waktu itu
agak suram kerana cuaca masih mendung dan hujan turun dengan renyai-renyai.
Daun-daun kelapa sawit yang lebat telah menghalang cahaya matahari untuk sampai
ke lantai tanah keadaan ini menambahkan lagi suasana suram.
Di sebabkan cuaca yang lembab pada
minggu itu, banyak kulat sawit berjaya saya tuai, lebih dari 3 bakul plastik
besar sarat dengan kulat sawit. Saya lihat jam tangan menunjukkan tepat jam
5.10 minit petang. Keadaan ladang pada masa itu seperti sudah senja dan agak
samar ditambah lagi bunyi binatang yang sayup-sayup kedengaran maka bertambah
suram dan seram lagi keadaan sekelilingnya.
Saya membuka kunci basikal dan
meletak 3 bakul plastik di bahagian depan basikal dan mula mengayuh. Beberapa
minit kemudian saya berasa ada sesuatu sedang menarik tempat duduk belakang
basikal, saya berhenti untuk menoleh ke belakang dengan menyangka ada ranting
kayu menyangkut di bahagian rim basikal atau pun tempat duduk belakang. Namun
tiada apa mahupun sesiapa di belakang saya.
Saya meneruskan kayuhan tanpa berfikir benda-benda lain
kerana saya mesti sampai rumah sebelum jam 6.30 petang, semakin lama semakin
berat rasanya kayuhan basikal itu , seperti sedang membonceng seseorang yang
beratnya lebih 50kg. tercungkap-cungkap juga nafas saya mengayuh basikal diatas
tanah gravel yang berlubang-lubang. Sehinggalah saya melepasi rumah pertama
iaitu merupakan rumah paling pinggir di kawasan perumahan barulah kayuhan
basikal saya terasa ringan seperti biasa.
Pada keesokan harinya saya ke
sekolah , seorang rakan menegur dan bertanya “ siapa perempuan yang kau bonceng
semalam? Saya tak pernah nampak orang tu sebelum ni”. Sepanjang hari tumpuan belajar
saya terganggu disebabkan peristiwa semalam. Ditambahkan lagi bahawa
makcik-makcik jiran sebelah sebenarnya telah pergi ke blok yang berlainan.
Menurut jiran dan pekerja yang
pernah datang ke sana sebenarnya banyak perkara pelik telah berlaku di situ sebagai
contoh bakul plastik yang penuh dengan tuaian kulat sawit ghaib tiba-tiba ,
pernah juga kedengaran suara perempuan mengilai-gilai pada waktu tengah hari, kadangkala
kedengaran suara orang ramai seperti ada pasar tani di sebelah semak setelah di
tinjau namun tidak menjumpai sesiapa di situ dan pernah juga kelihatan seorang
“pekerja” sedang bekerja tetapi pekerja sebenar sedang bercuti balik kampung….Barulah
saya faham kenapa jarang orang mencari kulat sawit di blok tersebut dan sejak
dari petang itu saya tidak akan sekali-kali pergi kesana sungguh pun datang secara
rombongan khawin.
No comments:
Post a Comment