Friday, February 9, 2018

Kopi durian merbahaya

GEORGE TOWN: Letih, lemah, serta panas badan.

Itu simptom yang dialami dua pengawal keselamatan warga Nepal yang dimasukkan ke hospital selepas mendakwa minum kopi pra-campuran berperisa durian ketika sedang bertugas.

Sapkota Mangai Prasea, 45 tahun, berkata, dia dan rakannya Bishnu Shrestna, 41 tahun, berkongsi sebungkus minuman itu ketika sedang bertugas di pondok pengawal keselamatan di sebuah bangunan komersial di Pulau Tikus.

Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 9.45 pagi Selasa itu, mereka mula rasa pening dan keletihan selepas menghabiskan minuman tersebut sehingga salah seorang daripada mereka pengsan.

“Pada mulanya saya mengalami mabuk-mabuk dan pening kepala. Kemudian, selepas tiga minit, semuanya menjadi gelap,” jelas Sapkota.



Sapkota yang bekerja di Pulau Pinang sejak empat tahun lepas dan fasih berbahasa Malaysia berkata mereka bernasib baik kerana gejala yang dialami itu tidak mengancam nyawa dan mereka semakin pulih sekarang ini.
Bishnu berkata, semasa kejadian, terdapat empat pegawal keselamatan sedang bertugas namun hanya dia dan Sapkota sahaja yang minum air kopi itu  sebelum mengalami gejala berkenaan.

"Saya rasa mahu muntah tapi tidak muntah, dan memang terus rasa letih serta macam hendak pengsan lepas minum air kopi itu. Waktu itu hanya ingat keluarga di Nepal dan mati saja," katanya.


Dia mengucapkan terima kasih kepada rakan sekerja yang terus membawa mereka ke HPP sejurus kejadian itu kerana jika lambat, mungkin keadaan mereka akan lebih teruk. 

Mereka ditemui selepas menerima kunjungan daripada Konsul Kehormat Nepal Pulau Pinang, Datuk Huan Cheng Guan di Hospital Pulau Pinang, pada Khamis.

Sementara itu, Huan memaklumkan keadaan kesihatan mereka berdua semakin baik dan dijangka dibenarkan keluar hospital dalam tempoh terdekat.


Semalam, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang memaklumkan lima individu dirawat di HPP selepas  mengalami gejala letih dan lemah teruk dipercayai selepas minum sejenis kopi sejak beberapa hari lalu.

Pengarahnya Dr Wan Mansor Hamzah berkata semua mereka berusia 19 hingga 62 tahun itu ditahan di wad untuk pemerhatian.

Tiga daripada mereka dibenarkan keluar dari wad selepas keadaan mereka bertambah baik, manakala dua lagi masih menerima rawatan di HPP.

Sementara itu, Bernama melaporkan, tinjauan di George Town mendapati beberapa pasar raya yang menjual kopi pracampuran itu telah menghentikan penjualan kopi berkenaan.

Bungkusannya juga tidak lagi kelihatan di rak barangan selepas kejadian yang menimpa dua pengawal keselamatan tersebut menjadi tular di Facebook.

No comments: